BIDONG

“Aku dengar kita semua kena pergi Pulau Bidong untuk program survival laut. Betul ke?", tanya aku kepada Farmie. “Ha’ah”, jawab Farmie dengan ringkas. Aku tertanya-tanya, apa itu survival laut. Lantas aku terus menghubungi kak Hanimah, seorang kenalan yang juga merupakan kakak senior aku.
Aku: Salam kak, apa khabar?
Kak Hanimah: Baik-baik saja, ye? Boleh akak bantu?
Aku: Kak, survival laut tu apa?
Kak Hanimah: Oh, survival laut tu satu program yang dianjurkan oleh UMT
untuk pelajar-pelajar baru macam korang ni. Korang semua
kena pergi ke Pulau Bidong untuk buat macam-macam aktiviti
seperti snorkeling, kayak, tengok kawasan peninggalan orang
Vietnam dan macam-macam lagi. Best sangat!
Aku: Pulau Bidong? Tak pernah dengar pun kak, kat mana tu?
Kak Hanimah: Oh, pulau tu hak milik UMT. Jauh jugak dari UMT tu.
Aku: Oh, kalau gitu terima kasih banyak-banyak kak.
Kak Hanimah: Sama-sama.
Sekarang aku sudah tahu akan serba-serbi program survival laut. Hati ku terasa berdebar-debar untuk menunggu saat-saat untuk menghadiri program tersebut. Rakan sebilik ku, hafizze atau dikenali sebgai Pijie terpilih lebih awal untuk pergi ke program. Tiga hari aku duduk bersendirian dibilik, rasa sedikit sunyi tanpanya. Setelah tiga hari berlalu, dia pulang dalam keadaan yang gelap dan tidak terurus. Aku bertanya, “Macam mana program Pijie? Korang buat apa kat sana?”. Pijie menjawab, “Hahaha..best sangat, dapat snorkeling tengok ikan, dapat jalan-jalan tengok kawasan peninggalan pelarian Vietnam, sangat best!”. Aku semakin teruja dan semakin bertambah semangat untuk pergi ke program tersebut.
Setelah dua minggu berlalu, tiba masanya giliran aku untuk pergi ke program tersebut. Program bermula seawal pagi dimana sebuah bas menunggu kami di depan asrama. Setelah semua peserta program berkumpul, perjalanan dimulakan. Ini pertama kali aku keluar jauh dari UMT. Aku menuju ke satu tempat yang mempunyai jeti. Aku bertanya kepada rakan-rakan yang berasal dari Terengganu, “Kat mana ni?”. Jawab mereka, “Ni la jeti Marang”. Pertama kali aku sampai di situ, suasananya tenang sekali, kawasan jeti yang agak kecil tetapi penuh dengan bot peranginan dan bot untuk tujuan penangkapan ikan. Semua peserta berkumpul dan diberi taklimat. Setelah taklimat disampaikan, kami semua di arahkan untuk menaiki bot peranginan untuk pergi ke Pulau Bidong. Ini pengalaman pertama aku menaiki bot. Untuk mengelakkan mabuk, aku bertanyakan beberapa tips dari ayah. Ayah berpesan supaya jangan duduk setempat semasa dalam bot, dan andainya terpaksa duduk setempat, ambil sedikit air laut dan minum. Aku
mengikuti nasihat ayah, Alhamdulillah, nasihat tersebut berhasil, aku tidak mabuk.
Perjalanan untuk ke Pulau Bidong mengambil masa lebih kurang sejam dari Jeti Marang. Ketibaan kami di Pulau Bidong di sambut dengan sekumpulan obor-obor yang banyak, ini adalah kerana musim ini adalah musim mengawan bagi obor-obor tersebut. Kami segera turun dari bot. Taklimat diberikan oleh pengawai UMT dan juga penjaga pulau, mereka sering mengingatkan agar semua pelajar menjaga kebersihan dan tidak boleh menggunakan sebarang bahan kimia seperti sabun bagi mengelakkan berlakunya kerosakkan pada terumbu karang. Peserta wanita mula merungut, tetapi bagi kami peserta lelaki, ini semua benda biasa dan tidak memberikan sebarang masalah kepada kami. Setelah selesai taklimat, kami semua diarahkan untuk menjamu selera bagi makan tengahari. Lauk-pauk agak ‘simple’ tetapi sedap dan cukup untuk mengalas perut. Kemudian, kami diarahkan untuk berkumpul mengikut kumpulan yang telah ditetapkan beberapa minggu sebelum program survival laut ini dijalankan.
Hari pertama, 1 Ogos 2008, kami dikehendaki melalui satu perkara asas ketika di Pulau Bidong iaitu ‘water confidence’ dimana kami akan membuat bulatan didalam satu kumpulan dan mengapungkan diri dengan menggunakan BA. Setelah selesai, kami dikehendaki untuk berenang menuju ke kapal yang tidak jauh dari pulau. Semua peserta bergegas ke kapal mngharungi ombak dan obor-obor, ada yang terkandas kerana disengat obor-obor. Setelah sampai di kappa, kami dikehendaki terjun dari kapal tersebut dan harus berenang semula ke pulau. Sangat meletihkan, aku juga menjadi mangsa kerakusan obor-obor yang ghairah menyengat mangsa-mangsanya. Setelah diberikan rawatan, tiba pula sesi latihan dalam kumpulan dimana kami memperkenalkan diri masing-masing dan apa-apa yang berkaitan dengan diri kami kepada ahli kumpulan. Kemudian, kami di minta untuk membuat sorakkan untuk pasukan kami. Disinilah kali kedua aku berpeluang untuk berbicara dengan Idora atau nama singkatannya E. Aku agak segan untuk bertegur sapa dengannya kerana aku tidak dikenali oleh rakan-rakan sekelas ku. Tapi oleh sebab tidak mahu dikatakan sombong, aku mula mengorak langkah untuk bertegur sapa dengannya. E sorang wanita yang agak dikenali ramai kerana wajahnya yang lembut dan ‘free hair’. Jadi ramai lelaki yang tertarik dengannya termasuklah aku. Tetapi itu semua dulu sebelum dia membuat keputusan untuk tidak memakai tudung, tapi aku masih mahu berkawan dengannya. Aku mendapat tahu bahawa E berkawan rapat dengan seorang lelaki di kelas ku, Akif namanya. Jadi aku menggunakan kesempatan ini untuk menyakat beliau. “E, Akif kat mana?”, tanya ku sambil tersenyum kambing. Lantas E membalas dengan senyuman yang serupa dengan ku, “Akif di hati ku”. Aku tergelak mendengar kata-kata yang dilemparkan kepada ku. Lantas aku pun berlalu pergi dari situ dengan hati yang gembira kerana dapat berbual dengan seseorang yang manis sepertinya.
Hari kedua lebih menyeronokkan, kami dikehendaki menjalani snorkeling, memanjang bukit sambil melihat bekas tinggalan pelarian Vietnam, kayak mengelilingi pulau dan memancing. Setelah melalui semua aktiviti yang meletihkan tersebut, kami dikehendaki membuat persembahan pada malam tersebut. Ada persembahan yang mencuit hati, ada pula yang agak membosankan. Tapi semuanya berbaloi kerana selepas persembahan tersebut kami dijamah dengan ikan bakar hasil daripada aktiviti memancing. Hari ketiga iaitu merupakan hari yang terakhir kami di Pulau Bidong. Pada hari ini akan diadakan pertandingan kayak mengelilingi bulatan yang disediakan. Kumpulan yang menang akan membawa pulang hadiah berupa hamper. Setelah pertandingan selesai, kami mengemaskan kesemua pakaian dan baranan kami untuk pulang ke UMT. Kenangan di Pulau Bidong tidak akan aku lupakan sehingga ke akhir hayat ku.