BERMULANYA DISINI


P
ada hari ini, iaitu pada akhir bulan jun tahun 2008, aku mula melangkah ke satu alam yang baru dalam hidupku. Mahasiswa, ya! Itulah aku. Apabila menjejakkan kaki ke menara gading, terasa seolah-olah apa yang dibebelkan oleh guru-guru serta ibubapa ku menjadi kenyataan. Mereka selalu berpesan, “Belajarlah sehingga ke menara gading”. Universiti Malaysia Terengganu, itulah menara gading pilihan ku. Berada di negeri orang, membuatkan aku berasa sedikit janggal. Mujurlah aku tidak keseorangan. Kawan-kawan seperjuangan dari Kolej Matrikulasi masih ada bersamaku.
                Hari-hari yang dilalui disini amat memeritkan. Aku seperti hilang arah tuju. Aku masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan bahasa, budaya dan makanan disini. Puas aku mencari sesuatu yang serasi dengan diriku. Tapi malangnya tiada. Keropok? Budu? Nasi kerabu? Itulah Terengganu. Walaupun agak berat pada mulanya, tapi aku berjaya mengharungi dengan jaya. Mungkin pada mulanya semangat kenegerian masih tebal dan utuh dalam jiwa dan sanubariku, tetapi aku harus mengikis sedikit demi sedikit perasaan tersebut untuk hidup berdikari di negeri orang.
                Minggu orentasi adalah program yang biasa diadakan untuk pelajar-pelajar yang baru menjejakkan kaki di alam Universiti dan aku pun tidak terkecuali dari menjalani program tersebut. Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) merupakan pilihanku. Semasa minggu orentasi, program kami dibahagikan kepada dua supaya memudahkan para fasilitator untuk mengawal tingkah laku kami. Jadi, hanya beberapa orang sahaja dari programku yang aku dapat kenali sepanjang minggu tersebut. Sebagai seorang lelaki, tidak sah jika tidak memandang wanita-wanita yang seangkatan denganku. Tambahan pula ramai yang berasal dari pantai timur. Mereka memiliki wajah yang putih gebu dan sopan dari segi budi bicara, membuatkan aku tertarik untuk melihat mereka. Salah seorang daripadanya, seorang wanita dari program aku sendiri yang tidak aku kenali dan tidak tahu akan namanya.
Pertama kali aku berbual dengannya adalah sewaktu taklimat mengenai kokurikulum di Dewan Sultan Mizan. Sedang aku sibuk mengisi borang kokurikulum, si dia tiba-tiba menyatakan sesuatu yang membuatkan aku tertawa berbahak-bahak dan tersenyum sendirian. “La, melayu ke? Ingatkan cina!”, katanya kepada diriku selepas melihat nama pada borangku. Mungkin disebabkan aku banyak menghabiskan masa bersama orang cina sepanjang minggu orentasi tersebut dan mungkin juga aku berkulit kuning langsat dan bermata sepet seperti seorang cina. Aku pun terus tertawa dan tersipu malu sendirian. Itulah kali pertama aku bertegur sapa dengan seorang wanita sejak aku menjejakkan kaki di Universiti Malaysia Terengganu.
Disebabkan sifat ingin berkenalan, aku pun memberanikan diri dan mula berborak dengannya mengenai aktiviti kokurikulum yang menjadi pilihan kami. “Nak amik koke apa?”, tanya ku kepada si dia. “Oh, ingat nak amik scuba la. Awak nak amik koke apa?”, jawabnya berserta soalan kepada diriku. “Oh, mungkin bola baling kot”, jawab ku. Setiap aktiviti hanya terhad kepada beberapa orang pelajar sahaja, jadi bagi program yang ‘panas’ dan menjadi rebutan para pelajar seperti renang, scuba dan aktiviti air yang lain akan cepat dipenuhi kekosongannya. Si dia mula risau kerana program kami merupakan antara program yang terakhir untuk memilih dan mengisi kokurikulum mengikut kehendak dan pilihan kami. Aku pun bertanya kepada si dia, “Camne ni? Entah-entah scuba dah penuh kot”, kerisauan terpancar di sudut wajahnya yang putih tersebut lantas dia pun menyatakan “Takpa, saya ada makcik kat sini, mungkin dia boleh tolong”. Si dia terus menghubungi makcik dan setelah beberapa minit kemudian, kegembiraan terpancar di wajahnya. “Bereh”, katanya kepada diriku sambil tersenyum. Aku pun membalas senyuman yang dilemparkannya kepada diriku. Itulah kali pertama dan kali yang terakhir aku bertegur sapa dengannya sepanjang minggu orentasi tersebut.
 Minggu Jalinan Mesra Tahun 2008 – Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Terknologi Maritim)